Nafsu Manusia - Bab 1 - Menyingkap Rahsia Nafsu Manusia

Posted by admin - January 4, 2019

Apa itu hawa nafsu?

Di samping kurniaan akal, Allah juga mengurniakan nafsu kepada setiap manusia. Akal dan nafsu adalah perkara yang saling berlawanan tetapi kedua-duanya menjadikan manusia makhluk paling sempurna. Manusia dikatakan makhluk paling sempurna adalah kerana manusia adalah makhluk yang lebih baik daripada malaikat dan binatang. Malaikat hanya mempunyai akal, manakala binatang hanya memiliki nafsu sedangkan manusia memiliki kedua-duanya sekali, akal dan nafsu.

Berdasarkan pandangan ulama tasawuf, maksud hawa nafsu yang sebenarnya mempunyai kaitan dengan dua perkara yang penting iaitu:

  1. Keengganan menunaikan kewajipan beribadah kepada Allah ataupun bersifat pasif dalam mengerjakan perintahnya. Ini yang dimaksudkan dengan hawa.

  2. Kecenderungan melakukan penderhakaan, bangkangan ataupon kemungkaran kepada perintah Allah yang menyebabkan dosa dan maksiat ataupun dalam kata lain, bersifat aktif dalam mengerjakan larangan Allah. Ini yang dimaksudkan dengan nafsu.

Oleh itu satu kaedah diperlukan supaya keengganan beribadah ini dapat diubah kepada taat beribadah manakala kecenderungan ke arah maksiat dapat dipadamkan. Menurut ahli tasawuf, antara kaedahnya adalah dengan mengaktifkan 'hawa' dan mempasifkan 'nafsu'.

Ini perlu dllaksanakan secara bersepadu supaya hasilnya dapat menjadikan seseorang itu lebih bersemangat beribadah dan dalam masa yang sama, enggan membuat kemaksiatan. Bagaimana mengaktifkan 'hawa' dan mempasifkan 'nafsu' manusia ini? Caranya tidak lain hanya dengan memaksimumkan potensi akal yang ditetapkan Allah, sesuai dengan fungsinya.

Image description

Akal berpotensi memacu hati supaya dapat digunakan bagi berkomunikasi atau berhubung dengan Allah. Manusia yang tahu menggunakan potensi akalnya pasti mampu berhubung dengan Allah melalui hatinya. Sebaliknya manusia yang mengabaikan potensi akal sudah pasti menuruti nafsunya yang cenderung melakukan kejahatan dan kemaksiatan kepada Allah.

Berkaitan perkara ini, Allah berkata dalam surah asy-Syams, ayat 8 hingga ayat 10, "Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya, berjaya orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dan hampa orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya."

Ayat-ayat ini jelas menunjukkan Allah mengilhamkan kepada jiwa manusia dua jalan iaitu kefasikan dan ketakwaan. Orang yang lebih tertarik kepada ilham kefasikan, selalu menuruti hawa nafsunya. Manakala orang yang tertarik kepada ilham ketakwaan, pasti mengikuti perintah dan petunjuk Allah. Orang sebegini dalam kata lain, menggunakan fungsi akalnya dengan betul.

Menurut ahli tafsir Al Quran. M. Quraish Shihab, manusia yang memaksimumkan potensi akal, hatinya lebih dekat dengan 'tarikan langit' atau 'tarikan malaikat'. Manakala manusia yang lebih menuruti hawa nafsunya lebih dekat dengan 'tarikan bumi' atau 'tarikan kebinatangan' atau 'tarikan kerendahan'.

Secara mudahnya, orang yang mengikuti tarikan langit bererti dia menyucikan hatinya iaitu taat kepada setiap perintah Allah. Sebaliknya orang yang tertarik kepada tarikan bumi, bererti dia mengotori hatinya dan cenderung menuruti hawa nafsunya melalui pelbagai kejahatan yang menyebabkan dosa.

Dalam konteks ini, beberapa kesimpulan berikut dapat dijadikan bahan renungan kita semua, iaitu:

  1. Manusia yang benar-benar memaksimumkan potensi akaldan menyucikan hatinya berpeluang menjadi makhluk Tuhan yang mempunyai darjat yang lebih tinggi dari malaikat.

  2. Manusia yang mengotori hatinya dengan menuruti hawa nafsunya, pasti menjadi makhluk yang lebih rendah darjatnya daripada binatang.

  3. Bagaimana manusia dapat memiliki darjat yang lebih tinggi daripada malaikat? Bagi mendapatkan jawapannya, mari kita menelusuri peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad ke Sidratul Muntaha(langit ketujuh) bersama Malaikat Jibrail. Malaikat Jibrail bersama Nabi Muhammad hanya pada sebahagian perjalanan Israk dan Mikraj itu. Beliau tidak berupaya mengikuti perjalanan Nabi Muhammad ke Sidratul Muntaha bagi berdialog dengan Allah secara langsungdi mana pada ketika itu, perintah solat lima waktu diturunkan kepada umat Islam. Ini bukti manusia(yang diwakili oleh Nabi Muhammad) mempunyai darjat lebih tinggi daripada malaikat(yang diwakili Malaikat Jibrai).

  4. Seterusnya, mengapa manusia yang mengotori hatinya ataupun menuruti hawa nafsunya mempunyai darjat yang lebih rendah daripada binatang? Allah memerintahkan jin dan manusia supaya beribadah kepada-Nya. Namun masih terdapat manusia yang mengingkari perintah-Nya dengan menuruti hawa nafsu. Ini yang menyebabkan darjat manusia itu rendah dan hina berbanding binatang. Di sini pentingnya ayat 9 hingga ayat 10, surah asy-Syams.

Jalan kefasikan dan ketakwaan diilhamkan oleh Allah kepada semua manusia. Manusia diberi kebebasan memilih. Sekiranya pilihannya taat kepada Allah, balasannya adalah syurga. Namun sekiranya dia memilih mungkar, balasannya adalah neraka.

Allah berkata dalam surah al-Kahfi, ayat 29 "Dan katakan kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang beriman, dia perlu beriman dan sesiapa yang kufur, biar dia mengingkarinya kerana kami sudah sediakan untuk orang yang zalim itu api neraka yang meliputi mereka dan apabila mereka meminta minuman, mereka diberi minum dengan air seperti tembaga cair yang membakar muka, amat buruknya minuman itu dan amat buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Itu adalah balasan untuk mereka yangmemilih kemungkaran. Renungi juga kesudahan umat-umat terdahulu, yang di azab Allah kerana keingkaran mereka kepada-Nya, seperti yang diungkapkan Allah dalam surah al-Qaf, ayat 36 hingga ayat 37, "Dan berapa banyak kaum sebelum mereka yang Kami binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya daripada mereka. Kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. Meskipun itu keadaannya, adakah mereka dapat menyelamatkan diri? Sesungguhnya itu benar-benar satu pengajaran untuk yang berakal ataupun menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikan.

Tiga Unsur Jiwa

Menurut Ibnu al-Jauzi (2007), jiwa manusia sebenarnya memiliki tiga unsur, iaitu;

  1. Akal(gabungan antara hati dan fikiran) iaitu unsur paling utama, berperanan sebagai gedung hikmah(pengetahuan) manakala lawannya adalah kejahilan ilmu agama.

  2. Marah(ghadab) iaitu unsur yang hampir menyerupai keberanian(hidah) manakala lawannya adalah pengecut(jubun)

  3. Syahwat iaitu unsur yang menyerupai penjagaan kesucian diri(iftah), manakala lawannya adalah menuruti hawa nafsu.

Dalam hal ini umat Islam sepatutnya dapat mengendalikan ketiga-tiga unsur ini secara seimbang di bawah kepimpinan akal dalam kehidupan sehari-hari kerana keseimbangan antara ketiga-tiganya menimbulkan kesan positif kepada perkembangan jiwa manusia. Manusia yang tertipu oleh angan-angannya dan menuruti hawa nafsunya menyebabkan timbul kesan negatif kepada jiwanya.

Perkaitan antara hati dan nafsu

Image description

Apabila memperkatakan berkaitan hawa nafsu, rasanya tidak lengkap sekiranya tidak membincangkan masalah hati kerana terdapat perkaitan antara hati dan nafsu. dari perspektif spiritual terdapat persamaan antara hati dan nafsu, malahan juga antara roh dan akal. Nafsu di sini pastinya bermaksud nafsu yang baik(mutmainnah) kerana ia mempunyai hubungan dengan Allah.

Menurut Imam Al-Ghazali perkataaan al-qolbu dapat ditafsirkan keoada dua maksud iaitu;

  1. Dari segi bahasa bermaksud daging yang terdapat dalam dada manusia terletak di sebelah kiri yang mempunyai rongga berisi darah hitam. Ia juga adalah sumber roh yang diciptakan Tuhan. Hati di sini juga bermaksud "liver" atau jantung.

  2. Dari segi definisi, ia bermaksud bisikan rohani yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah yang membolehkan mereka berkomunikasi atau berhubungan dengan-Nya dalam konteks beribadah kepada-Nya. Ini juga hakikat sebenar kewujudan manusia iaitu menjalankan perintah Allah dengan beribadah kepada-Nya.

Daripada penjelasan Imam Al-Ghazali ini, jelas menunjukkan perspektif spiritual mementingkan kebersihan hati. Orang yang berusaha semaksimum mungkin melakukan pembersihan hati dengan bersungguh-sungguh. Dia secara automatik dikatakan melangkaui urusan hati, roh, akal dan nafsunya sendiri. Hasilnya kesemua unsur ini patuh kepada hati yang baik dan bersih yang kelak bertemu Penciptanya dia tempat teruji di sisi Tuhan


Home > Blog > Books > Nafsu Manusia - Bab 1 - Menyingkap Rahsia Nafsu Manusia