Cara memastikan bayi tidur sepanjang malam

Posted by admin - January 6, 2019

Ada pelbagai sebab mengapa bayi terjaga pada waktu malam. Kesukaran memastikan bayi tidur malam adalah sangat umum, berlaku pada kebanyakan ibu bapa. Jika bayi anda sentiasa bangun pada waktu malam ini boleh mengganggu rutin tidur anda. Anda mungkin mendapati amat sukar untuk mengerjakan tugas-tugas pada keesokan harinya. Wanita yang tidurnya terganggu disebabkan bayi mempunyai masalah tidur mungkin lebih mudah mengalami kemurungan.

Menyelesaikan masalah kesukaran tidur bagi bayi ini adalah penting kerana ia boleh menyebabkan tekanan dalam hubungan antara anda dengan suami, dan antara anda dengan anak.

Terdapat berapa strategi tidur yang berbeza, daripada membiarkan bayi menangis kepada tidur bersama bayi. Terpulang kepada anda untuk memutuskan yang mana satu paling sesuai untuk keluarga anda.

Image description

Tips berikut boleh membantu bayi anda tidur dengan baik dari usia seawal enam minggu. Apa yang penting, mana-mana sahaja pendekatan yang diambil, anda mestilah melakukannya secara konsisten.

1. Bezakan penyusuan di waktu siang dan malam. Misalnya, buatlah sesi penyusuan pada waktu siang dalam keadaan sosial dan ceria. Mungkin berbual-bual, menonton TV dan sebagainya. Manakala penyusuan pada waktu malam dilakukan dalam keadaan tenang dan sunyi. Dengan cara ini anda akan membantu bayi anda mengatur jam badannya supaya dia dapat membezakan antara siang dan malam.

2. Beri dia peluang untuk terlena dengan sendiri Anda boleh mulakan ini dari kira-kira enam hingga lapan minggu usia bayi. Letakkan bayi di atas katilnya ketika dia mengantuk, sebelum bayi anda terlelap. Sesetengah pakar menasihatkan supaya jangan membuaikan atau menyusukan bayi sehingga tidur. Sebaliknya melatih bayi untuk tidur sendirian adalah yang terbaik. Setiap kali bayi mahu tidur, letakkannya di atas katil. Latihan ini jika menjadi kebiasaan si bayi. Bayi tidur walaupun tidak dibelai ibu. Namun terpulanglah kepada keadaan dan situasi anda. Cubalah lihat pendekatan mana yang paling sesuai dengan bayi anda.

3. Tetapkan satu rutin tidur Pastikan ianya ringkas dan mudah misalnya, mandi, memakaikan lampin dan baju tidur, kemudian bercerita atau nyanyian. Jadikan ini sebagai satu ritual tidur. Kelak, ritual yang sama akan menjadi signal untuk bayi anda faham waktu tidur mereka.

Image description

4. Berikannya objek kesayangan untuk dibawa tidur bersama Ini boleh jadi selimut atau bantal. Anda mungkin boleh mulakan dengan memegang-megang atau memeluk-meluk selimut atau bantal, atau bawa tidur bersama sementara waktu supaya bau anda turut melekat pada selimut atau bantal sebelum memberikannya kepada si bayi. Kelak, meletakkan bayi anda di katil, bersama selimut atau bantal kesayangannya menjadi tanda bagi si bayi untuk melelapkan mata.

5. Biarkan dia menangis Ini amat sesuai apabila bayi anda berusia empat atau lima bulan. Jika dia menangis selepas anda membaringkannya, pergilah dekatinya. Tepuk dia perlahan-lahan dan beritahu dia bahawa semuanya baik, tetapi sekarang ialah waktu untuk tidur. Berlemah lembutlah, tetapi tegas. Tinggalkan bilik selepas itu. Tunggu untuk sesuatu tempoh, dari dua hingga lima minit, kemudian jenguknya lagi. Lakukan ini berulang kali sehingga dia tertidur, dengan memanjangkan masa antara setiap jengukan

6. Peluk bayi anda Sebahagian ibu lebih memilih untuk berbaring bersama bayi di katil untuk memastikan si bayi tidur. Tenangkan si bayi dan buai-buaikannya dahulu sebagai sebahagian daripada rutin waktu tidurnya supaya dia bersedia untuk tidur. Baringlah bersama-sama dan peluklah dia, buat pura-pura tidur, dengan tetap tegas memberitahunya bahawa itu waktu tidur.

7. Peka kepada keperluan bayi anda Kadang-kala bayi berasa tidak selesa dengan lampin yang dipakainya. Atau mungkin perutnya kembung, atau mungkin demam. Menentukan bayi anda tidur adalah satu hal, memahami keperluan bayi juga satu hal lain yang penting.

BAYI PERLU MASA UNTUK MENYESUAIKAN DIRI

Mengajar bayi untuk tidur sendiri bukanlah perkara mudah dan perlukan banyak kesabaran. Kita dan bayi perlu mencapai satu solusi untuk mencapai tidur yang nyenyak bagi keperluan masing-masing.

Selain itu, jangan lupa minta bantuan pasangan supaya anda tidak mengalami masalah kekurangan tidur yang serius. Ia boleh menjejaskan mental dan emosi secara mendalam sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.


Home > Blog > Tips > Cara memastikan bayi tidur sepanjang malam